30 Ogos 2007

NILAI ETIKA KEGURUAN

NILAI ETIKA


Etika terlalu banyak diberikan oleh pelbagai pihak dari semasa ke semasa. Istilah etika berasal dari perkataan Greek 'ethos', yang bermaksud khusus kepada 'character', ataupun perwatakan dan keperibadian.
Gluck (1986 : 176) telah mendifinasikan etika sebagai, " kajian filosofikal terhadap moraliti". Shea (1988 : 17) pula mendefinasikan etika sebagai "prinsip-prinsip bertingkahlaku yang mengawal individu atau profesyen" dan sebagai "satu standard tingkahlaku ".

Manakala istilah etika dikalangan teknokrat merujuk kepada kajian-kajian mengenai isu-isu 'standard moral' yang melibatkan para teknokrat yang boleh membantu meningkatkan integriti profesyen mereka.

Etika kerja dapat disimpulkan sebagai panduan tingkahlaku yang diikuti oleh manusia yang mempunyai kaitan rapat dengan kehidupan, khususnya dikalangan yang meminggirkan agama di dalam kehidupan mereka. Tidak mengira negara, bangsa dan agama telah menekankan norma moral yang berlandaskan ketinggian akhlak mereka yang mengamalkannya.
Dalam masyarakat moden sekarang ini norma keagamaan semakin ditinggalkan dan masyarakat lebih menuju kepada kemajuan material untuk mencapai kesenangan hidup. Sumber-sumber moral kini datang dari set etika yang dihasilkan oleh ketentuan akal manusia dan pengkajian terhadap kehidupan manusia.

Hubungan etika kerja profeesional dengan kehidupan manusia digunakan untuk mengawal tingkahlaku ahli professional dalam bentuk menyuruh melakukannya dan meninggalkan perkara yang mendatangkan kesalahan samaada di sisi undang-undang negara mahupun statusnya sebagai professional. Oleh itu, etika kerja professional merupakan satu landasan kepada masyarakat yang membolehkan teknokrat mengawal tingkahlakunya sendiri serta membolehkan masyarakat sosial mengawasi dan menilai setiap tindak tanduk mereka dari semasa ke semasa.

Etika seharusnya dipelajari dan diamalkan dalam kehidupan seharian kita. - dalam apa jua tindak tanduk. Keberkesanan prinsip etika terletak pada individu itu sendiri. Tanpa disiplin diri dan kekuatan mental yang tinggi seseorang itu tidak dapat mencapai tahap etika yang dikehendaki. Secara kesimpulannya dapatlah kita simpulkan bahawa etika itu wujud dalam diri seseorang itu dengan adanya disiplin dan kekuatan diri individu itu sendiri.


Fungsi Kod Etika Professional

Kod etika professional adalah salah satu 'alat kawalan' sosial yang digunakan sebagai salah satu panduan dalam mendisiplinkan diri kearah yang lebih beretika. Secara datarnya kod etika ini berfungsi sebagai :

Inspirasi dan panduan

Kod etika professional telah mengelaskan pelbagai tingkahlaku yang patut diamalkan dalam sesebuah organisasi atau jabatan tersebut. Kod ini juga boleh dianggap sebagai landasan dalam menjalankan pelbagai kerja dengan lebih teratur dan lebih baik.
Dengan panduan dan peraturan amalan-amalan kerja, kod etika boleh memandu dan mengingatkan ahli-ahli professional mengenai keputusan yang perlu diambil dan tingkahlaku yang sepatutnya apabila berada di dalam sesuatu keadaan.

Pencegahan Dan Disiplin

Kod-kod etika digunakan khususnya oleh badan-badan professional sebagai asas untuk menyiasat sebarang penyelewengan ahli-ahlinya apabila terdapat sebarang aduan diterima. Aduan-aduan ini akan dapat mengurangkan penyalahgunaan kuasa oleh mereka yang berkuasa dan berpangkat serta mempunyai kedudukan tertentu dalam sesbuah organisasi atau jabatan. Selain itu ia juga dapat mengelakkan penggunaan maklumat-maklumat rahsia syarikat atau jabatan untuk kepentingan diri sendir.i.

Memelihara Maruah Profesyen

Kod-kod etika memberi satu gambaran kepada semua pihak tentang imej positif setiap profesyen kerana setiap ahli terikat dengan satu standard etika yang tinggi. Etika merupakan satu panduan kepada professional untuk membina, meningkat dan mempertahankan integriti, kejujuran dan maruah profesyen masing-masing.
Ini secara umumnya, setiap kod etika professional menjelaskan bahawa setiap ahlinya perlu menggunakan segala ilmu pengetahuan yang dimilikinya untuk meningkatkan kesejahteraan manusia seluruhnya, jujur kepada diri sendiri, majikan, masyarakat dan pelanggannya serta sentiasa berusaha untuk meningkatkan pengetahuan untuk terus memberi perkhidmatan yang lebih cemerlang dari semasa kesemasa.

Memelihara Keharmonian

Kod etika menggariskan standard tingkahlaku yang harus dipatuhi dan diamalkan sepenuhnya supaya kepentingan semua pihak terpelihara. Ini dapat mengelakkan daripada berlakunya pertembungan di antara kepentingan diri dan kepentingan umum. Ini akhirnya menyebabkan pelbagai konflik dan rasa tidak puashati dikalangan pihak yang berkaitan. Setiap ahli professional dalam bidang masing-masing perlu mengiktiraf kehidupan, keselamatan, kesihatan dan kebajikan setiap anggota masyarakatnya

Sokongan

Jika seseorang teknokrat didakwa atau diragui oleh pihak lain tentang apa yang dilakukan, maka dia boleh menggunakan kod etika untuk menyokong tindakannya dalam memberi sokongan akan apa yang telah dilakukan. Hendaklah ahli teknokrat tersebut yakin akan pekerjaan yang telah beliau lakukan tidak salah disisi undang-undang dan agama serta etika organisasi atau jabatan.
Para professional hendaklah menolak sebarang arahan majikan yang bertentangan dengan etika professional syarikat berkenaan.

Ringkasnya, etika professional adalah untuk memberi inspirasi, galakan dan sokongan kepada pengguna-pengguna teknologi dalam bidang kepakaran masing-masing. Etika professional lebih menumpukan kepada dimensi perlakuan yang positif sebagai panduan tingkahlaku yang paling sesuai untuk diamalkan oleh seseorang professional.
Semua etika professional yang diguna pakai diseluruh dunia dalam bidang-bidang seperti perubatan, guaman, perniagaan, perakuanan dan kejuruteraan mempunyai asas-asas etika yang sama. Ini kerana tujuan etika dibentuk adalah digunakan untuk diri dan masyarakat amnya.


Amalan Tidak Beretika Dikalangan Profesional

Ahli-ahli profesional dalam tugas-tugas seharian mereka berurusan dengan pelbagai pihak. Tidak kira dengan siapa mereka berurusan, ianya mempunyai implikasi undang-undang yang luas. Namun begitu dari semasa ke semasa, pelbagai jenayah kolar putih yang melibatkan ahli profesional telah diketengahkan Ini menggambarkan perbuatan-perbuatan yang tidak beretika di kalangan para ahli profesional. Kebanyakan daripada mereka ini beranggapan bahwa etika adalah semata-mata untuk menyekat serta mengongkong kehidupan mereka. Mungkin pada masa sekarang ini ramai yang beranggapan bahawa tidak perlu lagi etika dalam kerja mereka kerana ianya akan menghadkan 'pergerakan' mereka dalam organisasi tersebut. Di bawah ini adalah sebahagian contoh perbuatan tidak beretika tersebut:

Salah Guna Kuasa

Dewasa ini, banyak kes yang kita dengar berhubung dengan salah guna kuasa oleh sesetengah pihak. Jenayah ini berlaku demi menjaga nama dan maruah seseorang itu dari dikenakan tindakan undang-undang daripada jenayah yang telah dilakukan.
Kuasa dan pangkat juga digunakan untuk menjatuhkan seseorang. Ianya juga digunakan untuk menipu dan memberi rasuah. Jikalau dilihat dari segi agama ia secara terang ditentang kerana ianya dianggap tidak bermoral dan tidak berlaku adil kepada mereka lain. Mereka yang terlibat dalam penyalah gunaan kuasa dianggap sebagai mementingkan diri sendiri dan mengetepikan norma-norma masyarakat. Mereka juga menggunakan kuasa untuk menyalah gunakan maklumat untuk tujuan memberi keuntungan kepada keluarga dan rakan-rakan dalam pemberian kontrak atau dalam menguruskan pinjaman atau subsidi.

Rasuah

Rasuah boleh ditafsirkan sebagai "ganjaran atau imbuhan yang diperoleh hasil daripada melakukan sesuatu kerja yang tidak sepatutnya dilakukan". Rasuah bukan sahaja boleh diberi atau diterima dalam bentuk wang ringgit tetapi juga dalam bentuk meterial.
Rasuah adalah satu jenayah kolar putih paling tinggi di Malaysia. Sungguhpun begitu hukuman yang dikenakan pada masa sekarang bagi mereka yang telah melakukan jenayah ini adalah tidak releven. Ini kerana jumlah denda yang diekenakan adalah amat kurang daripada jumlah nilai barangan atau bahan yang dirasuah.
Jikalau dilihat dari segi agama, ia dianggap berdoasa dan amat berat hukumannya. Hukuman ini bukan sahaja kepada penerima tetapi kepada pemberi dan juga saksi-saksinya kerana mereka ini bersekongkol dalam melakukan jenayah tersebut.

Kegiatan seperti ini akan memberi implikasi dan tanggapan buruk oleh masyarakat akan profesion seorang profesional yang dikira beretika dalam semua hal.
Impak ini juga akan dirasai oleh masyarakat keseluruhannya. Jenayah ini akan meningkatkan kos barangan dan perkhidmatan yang akhirnya memberi kesan kepada pengguna. Bukan itu sahaja, rasuah juga akan menyebabkan barangan dan perkhidmatan yang dipasarkan tidak memenuhi spesifikasi atau mutu yang sepatutnya. Ini sekaligus menghapuskan persaingan terbuka dan sihat. Persaingan terbuka ini amat penting dalam sistem ekonomi bebas kerana ianya akan meningkatkan kualiti barangan dan perkhidmatan, sedangkan amalan rasuah tidak mengambil kira aspek kualiti asalkan barangannya dibeli atau pun projeknya diluluskan.
Gejala rasuah juga menimbulkan rasa tidak senang hati pada sesetengah pihak kepada pihak lain kerana mereka percaya bahawa mereka tidak mendapat layanan yang adil dalam sesuatu urusan yang telah dijalankan

Namun demikian, di sesetengah buah negara, amalan ini 'diterima' oleh masyarakat walaupun ianya terang-terang salah di sisi undang-undang. Ini mungkin disebabkan pendapatan bulanan yang rendah seperti di Thailand, India, Indonesia dan Amerika Latin. Banyak faktor yang menyokong jenayah ini 'diterima' di negara-negara ini. Diantaranya termasuklah kesempitan hidup, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDK) yang rendah

Penipuan

Pada keadaan sekarang penipuan boleh dianggap sebgai suatu perkara yang biasa di'amal'kan oleh mana-mana pihak sama ada profesinal ataupun tidak. Penipuan biasa berlaku secara senyap dan tidak dapat dikesan. Ianya berlaku dalam keadaan sedar dan mereka yang bersekongkol dalam penipuan tersebut dan mereka tahu akan kesalahan yang telah mereka lakukan. Penipuan mempunyai pelbagai tujuan. Peniouan dilakukan untuk menyembunyikan kesalahan yang telah dilakukan dari pengetahuan umum. Terdapat pelbagai penipuan boleh dilakukan dan antaranya adalah pemalsuan dokumen dan maklumat, pengeliruan dan pemalsuan pengiklanan dan lain-lain. Yang biasa kita lihat adalah penipuan dalam pengiklanan barangan dan rumah kediaman. Penipuan boleh dikaitkan dengan perbuatan-perbuatan sepertiman yang telah diterangkan pada (a dan b) di atas. Penipuan merendahkan integriti dan maruah seseorang itu di martabat masyarakat. Ini akan menghakis kepercayaan rakyat kepada mereka yang terlibat.

Golongan profesional adalah golongan yang lebih banyak terdedah dengan perlakuan tidak beretika atau jenayah kolar putih. Ini kerana mereka terlibat dengan pelbagai keadaan dan orang pelbagai peringkat dan pangkat. Secara realitinya lebih tinggi pangkat dan jawatan disandang, maka lebih banyaklah cabaran dan dugaan yang perlu mereka hadapi.
Tindakan pertama melangkah batas-batas etika akan membawa diri seseorang itu terus terjebak dalam kancah yang tidak beretika dan amat sukar sekali apabila seseorang itu telah mula terlibat dengan etika yang tidak bermoral ini ingin keluar daripada apa yang telah 'biasa' mereka lakukan.

Kesimpulannya, walaupun seorang profesional itu terikat dengan undang-undang dan kod etika profesional, masih ramai di antara mereka yang melakukan amalan yang tidak sihat ini. Peuatan ini mungkin disebabkan masih ramia diantara mereka yang memikirkan etika sebagai malaikat yang mengawal segala tindak tanduk mereka dalam semua hal. Persekitaran juga turut mempengaruhi tindakan seseorang itu untuk melakukan perkara-perkara yang tidak beretika. Ini dilakukan demi menjaga reputasi dan periuk nasi mereka - walaupun mereka mengetahui apa yang mereka lakukan adalah salah disisi undang-undang. Perbuatan-perbuatan yang tidak beretika adalah ibarat penyakit barah yang sekiranya tidak dirawat akan memudaratkan seluruh anggota badan sehingga menyusahkan orang. Penyakit ini hanya dapat diubati dengan perlaksanaan undang-undang yang ketat. Dalam erti kata lain, pelaksana undang-undang juga tidak boleh bersekongkol dengan mereka dan tindakan undang-undang yang dikenakan haruslah tidak 'memilih bulu'.

Selain perlaksanaan undang-undang, kesedaran individu itu adalah sangat penting kerana ianya dianggap sebagai perisai utama diri dari melakukan perkara-perkara yang tidak beretika. Namun begitu, apa pun penyelewengan yang mereka lakukan adalah salah dan bertentangan dengan agama, kod etika profesional dan undang-undang serta norma-norma masyarakat amnya.